1. SKIP_MENU
  2. SKIP_CONTENT
  3. SKIP_FOOTER

Sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 sehingga bulan Mac 1951, pentadbiran Malaysia di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Pusat (Central Government) telah diuruskan oleh tiga orang pegawai tinggi Inggeris yang digelar Ketua Setiausaha atau Setiausaha Kerajaan (Chief Secretary), Peguam Negara (Attorney General) dan Setiausaha Kewangan (Financial Secretary).

Dalam bulan Mac 1951, pemerintahan penjajah Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu telah membuat satu perubahan penting lagi bersejarah dengan mengadakan satu cara baru yang dinamakan 'Sistem Ahli' (Member System).
Pada masa itulah mula wujudnya portfolio atau jabatan yang dinamakan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri yang kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Sehingga kini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menjalani sejarahnya tersendiri dan beberapa kali bertukar nama dari Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri (Department of Home Affairs), Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan (Ministry of the Interior and Justice), Kementerian Dalam Negeri (Ministry of the Interior) dan Kementerian Dalam Negeri (Ministry of Internal Security), Kementerian Dalam Negeri (Ministry of Home Affairs) dan kini dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

 onn-jaafarDi waktu penubuhannya, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri adalah bertanggungjawab ke atas sembilan pejabat dan agensi kerajaan iaitu Pejabat Penyiaran Broadcasting, Pejabat Kemajuan Kerjasama (Cooperative Development), Unit Filem (Film Unit), Pejabat Imigresen (Immigration), Pejabat Penerangan (Information), Pejabat Urusan Haji (Pilgrimage), Pejabat Pendaftaran (Registration), Pejabat Kebajikan Orang Asli (Welfare of Aborigines) dan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (Rural dan Industrial Development Authority - RISDA).

Ahli bagi Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri yang pertama ialah Yang Berhormat Dato' Sir Onn bin Jaafar (bekas Menteri Besar Negeri Johor dan Yang Dipertua Agong yang pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu / PEKEMBAR atau United Malays National Organization / UMNO).

Berikutan dengan Pilihanraya Persekutuan yang pertama kali yang diadakan pada 27 Julai 1955 dan kemenangan cemerlang Parti Perikatan (Gabungan UMNO, MCA dan MIC) dalam pilihanraya itu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik menjadi Ketua Menteri (Chief Minister) Persekutuan Tanah Melayu dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 9 Ogos 1955. Pada masa itu juga, pentadbiran cara 'Sistem Ahli' telah dibubarkan dan digantikan dengan 'Sistem Menteri'. Dengan perubahan tersebut, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri bertukar namanya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Oleh kerana ketika itu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri adalah juga menjadi Ketua Menteri, maka seorang Menteri Muda Kanan telah dilantik untuk menguruskan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Y.B. Encik Bahaman bin Shamsudin telah dilantik menjadi Menteri Muda Kanan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri pada 9 Ogos 1955.

 Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama dan dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri (Minister for Internal Defence and Security). Pada ketika itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah bertanggungjawab ke atas sembilan jabatan iaitu Jabatan Penyiaran, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen, Jabatan Penerangan, Jabatan Urusan Haji, Jabatan Percetakan, Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Perangkaan serta menjadi Urus setia Ekonomi.

Pada bulan Julai 1958, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah disusun semula serta diubah namanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan (Ministry of the Interior and Justice). Seterusnya, Y.B. Dato' Suleiman bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Keadilan pada bulan September 1957.

Dalam bulan Ogos 1959, Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan telah menjadi dua Kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Dalam Negeri (Ministry of the Interior) dan Kementerian Keadilan (Ministry of Justice). Jabatan-jabatan yang diletakkan di bawah tanggungjawab dan jagaan Kementerian Dalam Negeri ialah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Kimia, Jabatan Perkhidmatan Bomba, Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Percetakan Kerajaan, Jabatan Penjara, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Perancangan Bandar dan Kampung (Town dan Country Planning Department). Manakala Kementerian Keadilan pula adalah bertanggungjawab ke atas Kehakiman (Judiciary), Peguam Negara (Attorney General) dan Amanah Raya dan Penyimpan Harta Musuh (Public Trustee and Custodian of Enemy Property).
Pada akhir tahun 1959, satu lagi Kementerian baru ditubuhkan yang dinamakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (Ministry of Internal Security) yang bertanggungjawab ke atas Polis DiRaja Persekutuan Tanah Melayu dan Jabatan Keselamatan Sempadan (Directorate of Border Security). Seterusnya pada bulan September 1959, Y.B. Dato' Suleiman bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Y.B. Dato' Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Y.B. Tun Leong Yew Koh sebagai Menteri Keadilan.

Pada 1 Ogos 1962, telah berlaku pula penyusunan semula Jemaah Menteri di mana Y.B. Dato' Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan juga Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1965, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah dimansuhkan dan dicantum dengan Kementerian Dalam Negeri yang kemudian diubah namanya kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Ministry of Home Affairs).

Walau bagaimanapun pada 1 Jun 1967, Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman telah meletak jawatan dan beliau diganti oleh Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri di samping menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan Menteri Pertahanan.

Berikutan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, darurat telah diisytiharkan dan Majlis Gerakan Negara / MAGERAN (National Operations Council / NOC) telah dibentuk untuk mentadbir negara dengan Y.A.B. Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya. Pada 20 Mei 1969, Y.A.B. Tun Dr. Ismail telah kembali menjadi anggota Jemaah Menteri dan dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Seterusnya pada 23 September 1970, Y.A.B. Tun Abdul Razak telah menubuhkan Jemaah Menterinya sendiri yang mengandungi 18 orang Menteri dan 7 orang Menteri Muda atau Timbalan Menteri. Y.A.B. Tun Dr. Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

ghazali-shafeiPada 13 Ogos 1973, Y.B. Tan Sri Muhammad Ghazali bin Shafie dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menggantikan Y.A.B. Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sementara Y.B. Datuk Abdul Samad bin Idris dilantik sebagai Timbalan Menteri. Dalam tahun 1977, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap 6 Jabatan iaitu Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri adalah juga bertanggungjawab terhadap Peperangan Saraf dan Pasukan Kawalan yang diubah namanya kepada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA.

Pada tahun 1979, satu lagi jabatan diletakkan di dalam tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu Pusat Biro Narkotik (Central Narcotics Bureau) yang dahulunya terletak di bawah jagaan Kementerian Undang-Undang. Pada tahun 1980, sebuah Urus setia telah dibentuk bagi melicinkan pentadbiran Pusat Biro Narkotik tersebut dan Urus setia ini menjadi salah satu dari beberapa bahagian dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Urus setia Narkotik ini kemudian dikenali sebagai Urus setia Dadah yang merupakan Urus setia kepada Unit Bertindak Eksekutif.

Perkembangan terakhir dalam Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berlaku dalam tahun 1981 iaitu penubuhan sebuah lagi bahagian yang dinamakan Bahagian Pemulihan dan Gerak saraf.

Selepas Y.B. Tan Sri Muhamad Ghazali bin Shafie, Y.A.B. Dato' Musa Hitam telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri mulai 17 Julai 1981 sehingga 16 Mac 1986, di mana beliau juga merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Seterusnya Y.A.B Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Perdana Menteri ke 4 telah mengambil alih portfolio Menteri Dalam Negeri mulai 17 Mac 1986 sehingga 10 Januari 1999.

Mulai 14 Januari 1999, Y.A.B. Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pula menerajui Kementerian Dalam Negeri sehingga 27 Mac 2004. Pada 27 Mac 2004 Kementerian Dalam Negeri telah dipecahkan kepada dua Kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

abdullah-badawiazmi-khlid

 YB Dato' Azmi bin Khalid telah menerajui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mulai 27 Mac 2004 sehingga 13 Februari 2006.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri merupakan salah satu kementerian yang terkanan dan penting yang bertanggungjawab memastikan dasar, undang-undang dan peraturan berhubung kewarganegaraan dan pendaftaran negara bersesuaian dengan keperluan semasa negara.

Oleh kerana tugas dan tanggungjawab yang berat ini, maka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan untuk masyarakat dan negara selaras dengan dasar 'Perkhidmatan Mesra Rakyat' dan berusaha untuk menjadikan Kementerian ini sebagai Kementerian Contoh Serta Terus Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang.
 

radziPada 14 Februari 2006 rombakan Kabinet telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di mana berlaku pertukaran peneraju bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kementerian ini kini diterajui oleh Y.B. Dato' Sri Mohd Radzi Bin Sheikh Ahmad.
Kementerian Dalam Negeri ditubuhkan pada 18 Mac 2008 berikutan dengan rombakan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke 12. Ia merupakan gabungan dua buah kementerian iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN). Sebenarnya kedua-dua kementerian ini pernah dipisahkan iaitu pada 27 Mac 2004.

Berikutan dengan penggabungan ini, beberapa perubahan kepada susunan struktur organisasi dan pembahagian tugas serta perjawatan telah dibuat. Kini KDN diterajui oleh seorang Menteri kanan dan seorang Timbalan Menteri. Dari segi pengurusan dan pentadbiran, KDN dipimpin oleh seorang Ketua Setiausaha (KSU) yang dibantu oleh lima (5) orang Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) dan 27 Bahagian. Setiap TKSU mengetuai satu sektor yang merangkumi beberapa Bahagian yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian (SUB).

 

Di samping itu terdapat lapan (8) buah jabatan dan agensi termasuk sebuah Syarikat Kerajaan diletakkan di bawah KDN dan bertanggungjawab terus kepada KSU; iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Pertahanan Awam, dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Agensi

Polis Diraja MalaysiaJabatan Penjara MalaysiaJabatan Imigresen malaysiaJabatan Pendaftaran Malaysia Agensi Antidadah Kebangsaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia RELA PNMB Lembaga Penapis Filem

ISO

Ikuti Kami

QR KDNTwitterFacebook KDNRSS Portal iKDNVideo KDNEmel KDN

Statistik

16620562

MyGovernment Pemudah Ketua Setiausaha Negara Malaysia Biro Pengaduan Awam MSC  1Malaysia JPA BLESS
MAMPU HRMIS Suruhan Pilihan Raya Malaysia Talent Corporation Malaysia Pusat Rujukan Persuratan Melayu  MyGov Mobile United Against Crime